Sukan

Atlet mendayung bawa pulang pingat emas dari China

Atlet mendayung negara, Muhammad Shukri Sulaiman meraih pingat emas acara single scull CM1X lelaki pada Kejohanan Mendayung Masters Pesisir Pantai Regata Asia 2023 di Qingdao, China hujung minggu lalu.

Persatuan Mendayung Malaysia (Perdama) dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, Shukri yang juga bekas atlet mendayung Sukan SEA negara itu sebelumnya berdepan cabaran apabila terpaksa bersaing dalam cuaca sejuk dan tiupan angin kuat.

“Shukri menamatkan saingan dalam jarak 1.6 kilometer (km) dengan catatan masa 10 minit 33.19 saat (s) dalam kategori Masters C (had umur 43-49) mengetepikan wakil tuan rumah, Wang Xuegang dan Lin Yi di tempat kedua dan ketiga,” kata Perdama.

Kejuaraan peringkat Asia itu menyaksikan sembilan negara mengambil bahagian iaitu tuan rumah, China, Indonesia, Kuwait, Malaysia, Myanmar, Thailand, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam.

Pasukan mendayung negara terdiri daripada tiga atlet lelaki dan tiga wanita turut merangkul gangsa menerusi Nur Afiqah Zamia Sumeri dalam acara Masters A (had umur 27-35) Single Scull Wanita CW1X.

Afiqah Zamia sebelum itu bersama gandingan Mohd Arif Ashraf, Nurafika Nordin, Muhammad Aiman Aziz dan Nurul Amira Norhadi menambah koleksi gangsa bagi acara Masters A campuran coxed quad CMix4X.

Sebagai rekod, mendayung pesisir pantai adalah acara baru dalam sukan mendayung, selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan kemasukan Mendayung Pecut Pantai, antara satu format Mendayung Pesisir Pantai dalam program Sukan Olimpik Los Angeleas 2028 sekali dengan acara Mendayung Klasik.

“Kemenangan atlet Malaysia dalam kejohanan Asia Masters ini memberi peluang dan harapan kepada Perdama dalam pencarian pingat emas sukan SEA dan kelayakan ke Sukan Olimpik.

“Perdama akan mengambil kesempatan ini untuk membudayakan mendayung pesisir pantai sebagai sukan kebangsaan di mana negara kita mempunyai banyak pantai semula jadi yang cantik untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa,” kata Presiden Perdama, Norhadi Ishari.

Related Articles

Back to top button