Negeri

MB gesa PBT Selangor naik taraf kemudahan asas mulai tahun depan

Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor digesa menumpukan usaha menaik taraf kemudahan asas rakyat mulai tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari ketika membuat gesaan itu berkata, PBT perlu menggunakan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada simpanan kewangan bagi tujuan tersebut sekali gus memberi keselesaan kepada orang ramai.

“Selain daripada apa yang telah dibajetkan oleh semua PBT, saya juga mahu (minimum) 10 peratus daripada simpanan mereka digunakan untuk menaik taraf kemudahan seperti balai raya, dewan dan kemudahan lain.

“Pelarasan ini perlu diadakan kerana infrastruktur asas perlu diperkemas supaya rakyat bukan saja dapat menikmati kemodenan yang dicapai tetapi juga dapat keselesaan (menggunakan) kemudahan awam yang ada,” katanya.

BACA LAGI: Tambahan RM3 juta untuk tuisyen rakyat, bukti komitmen Selangor tingkat pendidikan

Naib Presiden KEADILAN itu berkata begitu ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Perancangan bandar sedunia peringkat Selangor 2023 di Dewan Jubli Emas, Kampung Endah di Kuala Langat pada Sabtu.

Terdahulu, Amirudin dalam ucapannya berkata, pembangunan infrastruktur seperti kualiti jalan, longkang, lampu jalan, aksesori jalan raya, dewan orang ramai dan pusat masyarakat akan menjadi fokus Kerajaan Selangor pada 2024.

Ini kerana jelasnya, perancangan bandar juga perlu sentiasa mengadaptasi perubahan semasa termasuk keadaan demografi supaya selari dengan keperluan setempat.

Related Articles

Back to top button