ekonomi

Misi Malaysia berjaya, raih pelaburan bernilai RM63.02 bilion dari AS

Malaysia meraih pelaburan sebanyak RM63.02 bilion bagi cadangan pelaburan di Amerika Syarikat (AS) terutamanya daripada syarikat gergasi teknologi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media Malaysia pada akhir lawatan rasminya ke AS berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM8.33 bilion diperoleh daripada misi perdagangan dan pelaburan dianjurkan sebelum bermulanya mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Manakala selebihnya jelas Anwar adalah hasil daripada mesyuarat satu dengan satu yang diadakan sepanjang beliau berada di San Francisco.

“(Pelaburan) selebihnya telah diraih daripada pertemuan berasingan dengan gergasi teknologi seperti Google, Enovix Cooperation, Microsoft, TikTok dan TPG,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan.

Mengulas hasil mesyuarat yang diadakan, perdana menteri mendedahkan pelaburan yang mahu dijalankan TikTok agak besar dan iia turut bergantung kepada tempoh pantas Malaysia dalam meluluskan kesemua pelaburan berkenaan.

BACA LAGI: Kertas konsep GovTech dibentangkan ke MTEN Disember ini

“Dalam mempertimbang apa-apa juga ruang kelulusan dan insentif yang diperlukan, saya lebih menekankan soal pemindahan teknologi dan latihan. Ini supaya kita ada tahap keupayaan dalam bidang diterokai yang lebih canggih dan mencabar,” kata beliau yang turut menegaskan Malaysia tuurt aktif dalam menarik kehadiran kalangan penggiat kenderaan elektrik (EV), termasuk syarikat terkemuka seperti Tesla.

Sementara itu, Anwar turut mendedahkan pelaburan diraih dari misi perdagangan daripada Abbott Laboratories, Mondelez International, Amsted Rail, Hematogenix, PerkinElmer, Ford Motor Company, Boeing, Amazon Web Services, Enovix dan Lam Research.

Related Articles

Back to top button