Pengamal media Malaysia bersolidariti dengan wartawan di Gaza
Lebih 100 pengamal media Malaysia berhimpun di Dataran Merdeka pada Sabtu bagi mengecam intimidasi rejim Israel terhadap rakan media yang berada di Gaza, Palestin.
Wakil perhimpunan Save Press 4 Gaza (SP4G) Sairien Nafis dipetik laporan Malaysiakini berkata pengamal media Malaysia daripada 26 persatuan serta agensi hadir bagi menyokong penuh dan meniup semangat kepada pengamal media di sana untuk terus membuat liputan bagi menyebarkan kebenaran kepada dunia.
“Jadi, kami sebulat suara berdiri di sini untuk mengecam tindakan kejam rejim Zionis terhadap pengamal media di Gaza dan juga keluarga mereka, serta seluruh anak-anak kecil dan penduduk Palestin yang tidak berdosa,” katanya dipetik.
Antara kumpulan pengamal media yang hadir antaranya dari National Union Journalist (NUJ), Gerakan Media Merdeka (Geram), Crime Journalist Association (CIJA) dan Foreign Correspondent’s Club Malaysia.
Selain membawa sepanduk, ada antara mereka menunjukkan solidariti dengan mengenakan pakaian hijau dan mengenakan mafla Palestin.
Sairien sementara itu menggesa pengamal media di seluruh dunia agar bangkit menunjukkan sokongan kepada media di Gaza agar perjuangan mereka menyampaikan berita tidak sia-sia.
Media juga tegasnya perlu bangkit bersuara menentang keganasan dan pembantaian dilakukan rejim itu terutama terhadap wanita dan anak kecil.
“Kami juga menggesa agar media-media barat menyampaikan berita yang benar dan tepat tentang pembantaian rakyat Palestin oleh rejim Zionis Israel.
“Tugas kita ialah menyebarkan kebenaran bukan pembohongan dan propaganda,” tegasnya.
BACA LAGI: Intimidasi terhadap wartawan di Gaza perlu dihentikan – MAHAR
Media sebelum ini melaporkan pengamal media di Gaza telah dijadikan sasaran oleh tentera rejim Israel.
Setakat 8 Nov lalu, seramai 41 wartawan terkorban dalam perang Israel-Palestin yang bermula pada 7 Oktober lalu dan daripada jumlah berkenaan 36 adalah wartawan Palestin.
Sairien sementara itu turut memuji rakyat di seluruh dunia yang bertindak menjadi “mata dan mulut” kepada media di Gaza dengan berkongsi hantaran menerusi media sosial dan turun bersolidariti bagi menggesa gencatan senjata serta mengheret orang-orang yang bertanggungjawab dalam serangan berdarah itu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
“Semoga suara kami hari ini sampai kepada pengamal media di Gaza dan seluruh dunia, supaya kita dapat bersama-sama menentang kezaliman dan pembunuhan beramai-ramai di bumi Palestin,” katanya.