Nasional

Akaun KWSP ketiga untuk kecemasan bermula April 2024 – Ahmad Maslan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka akan melaksanakan akaun ketiga fleksibel pada April tahun hadapan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perincian akan dibuat ketika KWSP mengumumkan agihan dividen pada Februari depan.

“Kita sedang meneliti daripada sudut kaedah tertentu mengenai akaun ini yang tidak terlalu menjejaskan pendapatan pencarum.

“Peratusan tertentu akaun tiga akan ditetapkan dan boleh dikeluarkan pada waktu kecemasan yang akan diperincikan akan datang,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar ASEAN Social Security Association (ASSA) ke 40, hari ini.

Buat masa ini organisasi berkaitan boleh memberikan pandangan mereka mengenai akaun fleksibel itu dan mereka juga boleh menulis kepada Kementerian Kewangan dan KWSP.

Belanjawan 2024 lalu mengumumkan satu lagi akaun KWSP yang dikenali sebagai ‘Akaun 3’ atau ‘Akaun Fleksibel’ akan diwujudkan, membolehkan ahli mengakses pada bila-bila masa. Ini selari dengan situasi penuaan dan landskap kerja yang berkembang ke arah tidak formal di Malaysia.

Beliau mengatakan Kementerian Kewangan sedang meneliti perkara tersebut yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024.

“Kami akan melaksanakannya tetapi perlu ada kaedah tertentu yang tidak terlalu menjejaskan pendapatan rakyat dan ia hanya boleh dikeluarkan waktu kecemasan.

“Apakah maksud kecemasan itu juga akan diperincikan kemudian. Jadi kita tahu bahawa RM145 bilion telah dikeluarkan melalui empat kali pengeluaran ketika Covid-19 dan selepas itu kerajaan buat keputusan tidak ada lagi pengeluaran,” katanya.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button