Pilihanraya

Bekas Panglima ATM, pilihan terbaik untuk Kemaman

Calon Barisan Nasional (BN) mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman tekad mahu mengembalikan kerusi itu kepada BN.

Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menyatakan bahawa Kemaman untuk orang Kemaman dan beliau mahu menabur bakti kepada penduduk di kawasan parlimen tersebut.

“Saya balik ke sini sebagai orang Kemaman dan saya akan berbakti untuk orang Kemaman kerana saya orang Kemaman.” kata bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia itu.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebagi memasuki dewan penamaan calon pada Sabtu lalu, beliau berasakan seoalah satu medan untuk kembali ‘berperang’.

“Tapi perang dalam bentuk yang lain dan saya rasa dengan medan yang baik dan terurus, tidak mustahil kita akan alihkan warna biru di Kemaman, insya-Allah,

“Fokus saya satu sahaja, untuk menang. Yang lain adalah kaedah dan cara untuk mendapatkan kemenangan,” katanya .

BN diwakili Raja Mohamed Affandi manakala Pas menampilkan Menteri besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Alias Che Hamid (Pas) menang dengan majoriti 27,179 undi dengan meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru.

PRK Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihanraya Terengganu membatalkan kemenangan Alias pada 26 September lalu.

BACA LAGI: PH beri dukungan, bantu menangkan bekas Panglima ATM di PRK Kemaman

Sementara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, Kemaman berhak mendapat seorang Ahli Parlimen yang dapat memberi fokus kepada penduduknya.

Justeru Raja Mohamed Affandi jelasnya bukan sahaja membesar dan amat memahami daerah berkenaan, malah mempunyai pengalaman melindungi kesejahteraan rakyat dan menjadi ‘panglima’ kepada ribuan anggota untuk membela keselamatan rakyat.

“Sudah sampai masanya rakyat memilih wakil untuk berkhidmat, bukannya memilih pakatan parti yang asyik dengan percaturan politik tidak henti-henti.

“Biarlah wakil yang mewakili rakyat Kemaman ini dapat fokus mentadbir Parlimen dan dapat berhubung terus dengan Kerajaan Perpaduan untuk urusan kemajuan yang lebih mudah dan tersusun rapi,” katanya.

Related Articles

Back to top button