Mahkamah

Bekas Setiausaha Politik Sanusi didakwa kes rasuah RM400,000 terkait unsur nadir bumi

Bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, didakwa di Mahkamah Sesyen, di Kuala Lumpur, hari ini, terhadap dua tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM400,000 membabitkan unsur nadir bumi (REE).

Bagaimanapun, Mohamad Hilmi Abdul Wahab, 50, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Hilmi meminta dan menerima suapan wang tunai masing-masing berjumlah RM250,000 serta RM150,000 daripada Pengarah Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd, Liana Mamat @ Khalid, 40.

Permintaan rasuah itu melalui seorang lelaki dikenali sebagai Syed Muhammad Syid Aluvi, 34.

Kedua-dua kesalahan rasuah sebagai dorongan kepada tertuduh selaku Setiausaha Politik Muhammad Sanusi untuk membantu Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd untuk mendapat kelulusan permohonan lesen perlombongan dan penjelajahan REE di Kedah.

Kesalahan didakwa dilakukan di Sunway Kiara Hills, Jalan 32/70A, Taman Sri Hartamas, di sini dan sebuah restoran di Desa Sri Hartamas, pada 4 serta 11 Julai lalu, mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button