Nasional

Kerajaan akan pastikan ajaran Mhd Mohib Khoulu Nazem tak disebar luas

Kerajaan telah meminta semua agensi di bawah kelolaan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) termasuk Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memantau dan menghentikan penyebaran ajaran sesat Mhd Mohib Khouli Nazem.

Menteri berkaitan Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata selain langkah tersebut, pejabatnya juga sentiasa berkerjasama rapat dengan polis bagi membendung segala bentuk ajaran sesat yang bergerak secara ‘rahsia’.

“Kita hendak pastikan ajaran itu tidak tersebar luas dan menyeleweng akidah masyarakat Islam di negara kita,” katanya bagi mengulas kebimbangan masyarakat mengenai ajaran pendakwah bebas berasal dari Syria yang fasih berbahasa Melayu dan tinggal di Terengganu itu.

Dr Mohd Na’im sebelumnya hadir menyantuni golongan asnaf pada program Ziarah Asnaf Siri 4 di sekitar Wangsa Maju pada Ahad.

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu kali ke-15 pada Ogos lalu memutuskan ajaran dibawa Mohib Khoulid Nazem sesat kerana ia bercanggah dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di negara ini.

Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun berkata terdapat tujuh ketetapan bahawa ajaran itu sesat lagi menyesatkan kerana ia bercanggah dengan tonggak akidah yang diyakini oleh ulama al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah.

“Ciri-ciri penyelewengan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazim antaranya mendakwa ALLAH SWT maha berkuasa terhadap segala sesuatu dan oleh sebab itu jika ALLAH SWT menghendaki mengadakan anak untuk diri-NYA, Dia maha berkuasa menciptanya.

“Dakwaan ini merosakkan pegangan akidah masyarakat Islam kerana memahami bahawa ALLAH SWT harus mempunyai anak, sedangkan jelas ALLAH SWT mustahil mempunyai anak,” tegasnya.

BACA LAGI: Kefahaman ilmu jadi asas tegak syiar Islam – PM Anwar

Majlis Fatwa negeri turut memutuskan bahawa ajaran Mhd Mohid Khouli Nazim sebagai fahaman ektremis agama atau golongan pelampau (ghuluw) yang boleh mengancam keselamatan negara, justeru haram diamalkan.

Sementara itu, Mohd Na’im turut mengingatkan umat Islam di negara ini untuk merujuk kepada pakar dan mereka yang berpengetahuan serta mematuhi sebarang fatwa berkaitan supaya tidak terikut-ikut dengan ajaran yang mampu memesongkan akidah.

Related Articles

Back to top button