Semasa

Kes Denggi meningkat ketika monsun, Menteri saran penduduk jaga kebersihan persekitaran

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan trend peningkatan kes jangkitan denggi di enam negeri setakat ini, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang melanda negara boleh menjadi pencetus meningkatnya kes berkaitan nyamuk aedes itu.

Justeru orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan berisiko banjir dinasihat supaya berwaspada dengan menjaga kebersihan persekitaran bagi mengelakkan penularan kes demam denggi.

“Ya, memang betul, akhir-akhir ini kita lihat dalam musim tengkujuh ini ada kawasan kawasan air bertakung dan sebagainya. Maka trend penyakit denggi juga meningkat jadi kita nasihat supaya rakyat, penduduk prihatin perkara ini dan lebih rajin menjaga persekitaran masing masing.

“Kalau langkah-langkah mencegah itu tidak diambil kita bimbang penyakit ini akan semakin meningkat dan yang paling kita risau ia penyakit yang boleh membawa kepada kematian.

“Jika terdapat gejala tolonglah pergi mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Madani Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Pulau Pinang di Georgetown pada Ahad,

Enam negeri yang mencatat peningkatan kes adalah di Selangor, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun jelas Dr Zaliha, keadaan ketika ini adalah terkawal.

BACA LAGI: KKM siap siaga hadapi banjir, beku cuti kakitangan jika ada keperluan

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-44 (ME44) bagi tempoh 29 Okt hingga 4 Nov lalu meningkat 96.9 peratus kepada 100,936 kes berbanding 51,262 kes bagi tempoh sama pada 2022.

Kes berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 49,674 kes iaitu 96.9 peratus dengan 78 kematian, berbanding 35 kematian bagi tempoh sama.

Related Articles

Back to top button