Nasional

Malaysia Techlympics 2023 raih lebih 1.8 juta penyertaan – Lih Kang

Malaysia Techlympics 2023 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjaya menarik lebih 1.8 juta penyertaan sekaligus melepasi sasaran yang ditetapkan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, pertandingan teknologi terulung tersebut merupakan inisiatif MOSTI dalam usaha memupuk minat generasi muda terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Penganjuran Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Akhir Kebangsaan ini dilaksanakan selepas persaingan di Peringkat Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur, Zon Selatan, Zon Sabah dan Zon Sarawak.

“Penyertaan Malaysia Techlympics 2023 telah merekodkan sebanyak 1.815 juta penyertaan dari seluruh negara.

“Justeru itu, saya merakamkan setinggi penghargaan kepada kesemua wakil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan guru-guru yang telah bertungkus lumus dalam membantu melancarkan urusan penglibatan para pelajar di peringkat sekolah dalam Malaysia Techlympics 2023 ini.

“Uniknya penganjuran Malaysia Techlympics 2023 pada kali ini juga turut memberi peluang kepada para pelajar yang berjaya untuk mewakili negara ke pertandingan di Peringkat Antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Akhir Kebangsaan di Putrajaya, hari ini.

Tambah beliau, pelaksanaan inisiatif ini selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 – 2030 yang menggerakkan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembudayaan dan aktiviti kesedaran sains, teknologi dan inovasi (STI) secara besar-besaran.

Pada majlis tersebut, Chang Lih Kang turut melancarkan Rangkaian Kolaboratif Pusat Sains Malaysia (MySains) yang merupakan platform kerjasama antara institusi pembelajaran sains bukan formal dan lain-lain organisasi menerusi perkongsian informasi, pengetahuan, kemahiran dan aktiviti sains komunikasi.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button