Semasa

Agihan kouta benih padi dikaji semula, elak masalah kurang bekalan – Mohammad Sabu

Agihan kuota benih padi bakal dikaji semula pada tahun hadapan bagi memastikan kekurangan bekalan tidak berulang pada musim penanaman akan datang.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kementerian juga pada masa yang sama akan mempertimbangkan bagi menambah kuota BPS kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berbanding 30 peratus ketika ini bagi mengelak sebarang manipulasi harga atau ketirisan.

Bagaimanapun, peratusan penambahan kuota bergantung kepada perbincangan dan kemampuan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terbabit.

“Kita akan melihat kemampuan GLC itu sama ada mampu sediakan benih padi dalam kuantiti tinggi, (jika ya) kita akan beri banyak.

“Kalau dia mampu dalam kuantiti rendah tetapi minta tinggi, kita akan lihat dan pantau,” katanya.

Beliau berkata begitu pada sidang akhbar selepas hadir program Solidariti Palestin di Alor Setar pada Isnin.

BACA LAGI: Elak gangguan bekalan beras, program SMART SBB diperkasa

Sementara itu beliau berkata, kerajaan juga akan mewujudkan stok benih padi sah (BPS) sebagai langkah jangka panjang menangani kekurangan stok benih.

“Kita cadang hasilkan lebih kurang 50,000 tan metrik BPS. Sekiranya apa-apa berlaku, kita boleh guna stok ini. Cara mengurus stok berkenaan akan diperincikan oleh Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras kerana mereka miliki teknologi berkenaan.

“Stok ini penting untuk memastikan insiden tidak cukup benih tidak berulang lagi,” jelasnya.

Kerajaan baru-baru ini meluluskan serta-merta pengagihan BPS ke Kedah dan Perlis bagi menyelesaikan masalah ketiadaannya sejak beberapa minggu lepas.

Related Articles

Back to top button