Mahkamah

Jangan putarbelit, petisyen Nik Elin tak lemahkan kedudukan Islam – Tengku Maimun

Mahkamah Persekutuan hari ini menegaskan, isu dalam petisyen bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 bukan bertujuan memburukkan agama Islam mahupun melemahkan kedudukan Mahkamah Syariah seperti yang diputarbelitkan pihak-pihak tertentu.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada Isnin membidas putarbelit pihak tertentu berhubung isu petisyen yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Tengku Maimun dipetik laporan media berkata, petisyen oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman hanya semata-mata berkaitan isu kompetensi Kerajaan Negeri Kelantan dalam menggubal undang-undang syariah.

Ia jelasnya sama sekali bukan bertujuan memburukkan agama Islam mahupun melemahkan kedudukan Mahkamah Syariah seperti yang didakwa.

“Kami mengambil maklum dan mengambil langkah membuat pemerhatian kerana isu yang dibangkitkan dalam pendengaran ini telah diperkatakan oleh ramai pihak namun ia merupakan versi yang telah diputar belit daripada isu sebenar yang dihujahkan di hadapan mahkamah.

“Isu dalam pendengaran petisyen ini bukan melemahkan agama Islam dan Mahkamah Syariah, tetapi ia adalah berhubung kompetensi kerajaan negeri dalam menggubal undang-undang. Kenyataan bahawa Mahkamah Syariah akan berkubur di Malaysia adalah tidak betul.

“Tanggapan itu salah kerana pendengaran hanya bertujuan mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bukan merendah-rendahkan enakmen dan melemahkan Mahkamah Syariah,” ujar Hakim Tengku Maimun ketika memulakan sidang mendengar petisyen itu semalam.

BACA LAGI: Peningkatan peruntukan bukti kerajaan serius tegak syiar Islam

Tengku Maimun sementara itu menegur tindakan seorang peguam Yusfarizal Yussoff selaku peguam pemerhati bagi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).yang mengeluarkan kenyataan memutar belit dan mengelirukan ketika menyentuh pendengaran petisyen itu dalam forum umum, 16 September lalu.

Yusfarizal antara lain dilaporkan berkata, petisyen Nik Elin merupakan titik penyudah sebelum `batu nesan’ diletakkan bagi menguburkan Mahkamah Syariah di Malaysia.

Sambil memperbetulkan persepsi peguam itu, Hakim Tengku Maimum berkata, pengamal undang-undang tidak sepatutnya membincangkan isu yang menyentuh sentimen dalam khalayak umum ketika prosiding masih didengar dan belum diputuskan.

“Kami mengingatkan semua pihak bahawa mahkamah mendukung undang-undang agar tidak menimbulkan persepsi umum manakala para peguam terikat untuk menghujahkan kes berdasarkan isu yang dibangkitkan,” ujar beliau.

Pada prosiding 17 Ogos lalu, panel ini menekankan bahawa petisyen berkenaan hanya berkaitan pentafsiran perkataan-perkataan dalam Perlembagaan Persekutuan dan tiada kena mengena dengan doktrin Islam.

“Oleh yang demikian tidak timbul persoalan sama ada pihak pempetisyen mahupun mahkamah ini ingin menidakkan atau merendahkan kedudukan agama Islam di negara ini,” ujar Ketua Hakim Negara itu lagi.

Beliau mengetuai panel sembilan hakim bersidang bagi mendengar petisyen Nik Elin dan anaknya terhadap Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Panel itu turut dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Turut menganggotai panel, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P. Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Related Articles

Back to top button