Parlimen

Kerajaan bakal bentang RUU Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia minggu depan

Kerajaan dijangka akan membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia bagi menubuhkan badan yang bertanggungjawab membela dan mempertingkatkan hak kanak-kanak pada sesi Dewan Rakyat minggu depan.

Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said kepada pemberita selepas meninjau Pameran Hari Kanak-Kanak Sedunia sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2023 pada Isnin.

Azalina berkata pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 juga akan dibuat bersekali dengan pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia.

“Selepas Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 selesai, kami ada tiga hari untuk pembentangan rang undang-undang lain, jadi kami cuba juga pada sesi kali ini, ada masa untuk pastikan bacaan kali pertama dapat kami lakukan.

“Bagaimanapun, buat masa ini, kami tumpu sehingga Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 selesai dan diluluskan Parlimen,” katanya

BACA LAGI: Parlimen lancar kutipan dana Tabung Kemanusiaan Palestin

Pada masa sama, Azalina berharap semua pihak bersatu hati dalam hal dan isu berkaitan perlindungan serta hak kanak-kanak yang dibawa ke Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara.

“Saya berpendapat isu mengenai golongan rentan terutama kanak-kanak perlu dijadikan realiti dengan penyertaan Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihakā€¦Anda perlu bersatu padu demi kanak-kanak,” katanya.

Related Articles

Back to top button