Semasa

Kerajaan Perpaduan usaha atasi isu kekurangan jururawat

Kerajaan Perpaduan sedaya upaya mengatasi isu kekurangan jururawat, jelas Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi KKM di Dewan Rakyat pada Isnin beliau menjelaskan, antara langkah yang diambil adalah dengan menyerap masuk hampir kesemua lepasan kejururawatan dari Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia ke perkhidmatan tetap di semua fasiliti KKM.

Selain itu, katanya Lembaga Jururawat Malaysia juga telah diminta mengurangkan syarat kelayakan serta memberi tempoh tambahan enam bulan kepada lepasan yang tidak mencapai kelayakan bagi jurusan kejururawatan.

“Inilah yang dilakukan Kerajaan Perpaduan dalam menyelesaikan masalah, kita tidak hanya bercakap tentang punca masalah tetapi (mencari) jalan penyelesaian. Setiap perkara juga perlu dikaji terlebih dahulu dan bukan hanya main petik jawapan kepada (sebarang) masalah,” katanya.

BACA LAGI: Kes tibi terkawal, sentiasa dipantau – Dr Zaliha

Sementara itu Dr Zaliha turut memaklumkan, pihaknya turut mengurangkan bilangan pengerusi bersama dalam Lembaga Pengarah Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) berbanding amalan kerajaan terdahulu.

Beliau berkata pentadbiran kerajaan terdahulu melantik Menteri Kesihatan, Menteri Ekonomi dan Menteri Kewangan dalam Lembaga Pengarah MHTC.

“Saya sebenarnya tidak meneruskan (amalan kerajaan terdahulu), cuma saya mengurangkan. Tempoh hari, dia (Lembaga Pengarah) ada tiga menteri iaitu KKM, Menteri Ekonomi dan Menteri Kewangan. Tetapi saya potong, tinggal Menteri Ekonomi dan MHTC.

“Bagi saya adanya menteri daripada KKM (Kementerian Kesihatan) dan Menteri Ekonomi adalah okey kerana KKM bukan sahaja (berperanan) dalam operasi (perkhidmatan kesihatan awam) tapi ada juga unsur untuk tambah ekonomi negara, jadi MHTC adalah satu agensi yang boleh digunakan untuk tambah ekonomi.

“Sudah tentu apabila ada Menteri Ekonomi (sebagai pengerusi bersama dalam MHTC) tepatlah sekali, tiada masalah pun kalau tiada Menteri MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya)…kita sentiasa lakukan libat urus dengan MOTAC,” katanya menjawab celahan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi yang bertanya mengenai pelantikan Rafizi dalam MHTC.

Related Articles

Back to top button