Semasa

Pas hanya sedar petisyen Nik Elin selepas tak lagi jadi kerajaan?

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa membidas tindakan Pas yang cuba mempolimikkan isu petisyen dua individu terhadap kompetensi Kerajaan Negeri Kelantan dalam menggubal undang-undang syariah.

Merujuk kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak mengetahui tentang petisyen terhadap Kerajaan Negeri Kelantan itu, Mujahid menyifatkannya sebagai bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah langsung tidak munasabah.

Beliau turut mempersoalkan apakah Pas baru menyedari isu tersebit setelah tidak lagi menjadi kerajaan di peringkat persekutuan.

“Adakah Perikatan Nasional (PN) dan Pas baru ‘tersedar daripada lena’ selepas tidak lagi menjadi kerajaan? Sebagai kerajaan yang memerintah pada 2022, PN mempunyai akses kepada maklumat berkaitan urusan negara.

“Apakah alasan mereka berpeluk tubuh pada waktu itu dan menimbulkan perkara ini sekarang?

“Adakah selama 33 bulan, Pas tidak mempunyai ‘masa’ untuk ‘memahami’ lebih jelas sama ada perkara ini mengancam kedaulatan Islam?” soalnya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sebagai rekod, Peguam Nik Elin Zurina, 62, dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman, 26, memfailkan petisyen terhadap Kerajaan Kelantan itu pada 22 Mei 2022 iaitu ketika Pas berada dalam kerajaan persekutuan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada Isnin pada prosiding kes itu semalam menegaskan petisyen itu semata-mata berkaitan isu kompetensi Kerajaan Negeri Kelantan dalam menggubal undang-undang syariah.

Ia jelasnya sama sekali bukan bertujuan memburukkan agama Islam mahupun melemahkan kedudukan Mahkamah Syariah seperti yang didakwa.

BACA LAGI: K’jaan sedia peruntukan cukup tingkat kefahaman Islam – PM Anwar

Sehubungan itu, Mujahid menggesa semua pihak terutama ahli politik menghentikan perbuatan yang boleh menimbulkan tuduhan jahat atau fitnah terhadap kerajaan.

“Tidak perlu menanamkan persepsi dan menuduh seolah-olah kerajaan tidak menjaga undang-undang Syariah di negara ini.

“Hormatilah undang-undang dan cukup-cukuplah berpolitik. Perkara berkaitan undang-undang Syariah ini boleh diselesaikan secara objektif dan kolektif tanpa perlu menyebarkan fitnah dan menunggang isu agama,” tambahnya.

Untuk rekod, Nik Elin pada 16 November lalu menegaskan pihaknya bukan mencabar sistem undang-undang Islam.

Jelasnya cabaran itu adalah kepada Dewan Undangan Negeri Kelantan yang telah menggubal undang-undang ini tanpa mempunyai kompetensi (keupayaan) untuk berbuat demikian.

Related Articles

Back to top button