Selangor bentang Kajian Separuh Penggal RS-1 tahun depan
Kerajaan Negeri Selangor bakal membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Selangor Pertama (RS-1) tahun depan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata KSP yang bakal dibentang kepada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) itu merupakan inisiatif terbaik bagi menilai setiap usaha yang diambil bagi memastikan setiap rancangan ekonomi berjalan lancar.
“Kita akan buat KSP pada 2024, sesi kedua tahun depan, sekitar Februari dan Mac supaya kita boleh teliti semula dan lihat kesannya. Sebab semasa pembentangan itu kita belum lihat situasi global termasuk peperangan di Timur Tengah.
“KSP merupakan tempat penilaian terbaik. Ini membuktikan rancangan fiskal Kerajaan Negeri sentiasa inginkan yang terbaik,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan Selangor 2024) di DNS pada Isnin.
BACA LAGI: Tambahan RM3 juta untuk tuisyen rakyat, bukti komitmen Selangor tingkat pendidikan
Sementara itu, Amirudin turut melahirkan rasa optimis Selangor mampu mencapai sumbangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 30 peratus selewat-lewatnya pada 2026.
Sasaran sumbangan KDNK 30 peratus yang digagaskan daripada RS-1 itu jelasnya memerlukan sekurang-kurangnya penambahan RM22.4 bilion setiap tahun.
“Kalau ikut rekod prestasi kita, pada 2022 kita berjaya tingkatkan RM44 bilion berbanding tahun sebelumnya. Justeru 30 peratus yang disasarkan masih boleh dicapai.
“Mungkin kita tidak mampu capai pada 2025 dan mungkin boleh dianjak pada 2026. Kerajaan Negeri akan nilai dari semasa ke semasa termasuk KSP,” tambahnya.
Kerajaan Selangor membentangkan RS-1 pada Julai tahun lalu dengan menggariskan 14 petunjuk makro bagi mencapai keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kualiti kehidupan rakyat.
Pelan yang bertujuan menangani cabaran semasa digerakkan menerusi empat teras, lima pemangkin dasar dan 262 projek serta inisiatif melalui 19 pemacu perubahan.