Parlimen

Speaker Dewan Rakyat titip doa agar kanak-kanak Palestin terlindung dari kezaliman

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mendoakan supaya semua kanak-kanak khususnya yang berada di Semenanjung Gaza diberikan perlindungan daripada sebarang bentuk kezaliman.

Perkara itu disampaikan Johari di Dewan Rakyat bersempena sambutan Hari Kanak-Kanak sedunia yang disambut semalam.

“Pada hari ini, 20 November 2023, dunia menyambut Hari Kanak-Kanak Sedunia, tarikh penting untuk kita semua memperbaharui tekad melindungi hak kanak-kanak berdasarkan Konvensyen Hak Kanak-kanak pada 1995, terutamanya berkaitan dengan hak kanak-kanak iaitu kelangsungan hidup, perlindungan, pembangunan serta penyertaan kanak-kanak,” katanya pada Isnin.

Johari sementara itu turut mengingatkan ahli-ahli Parlimen dan pemegang amanah termasuk ibu bapa dan pendidik di negara ini untuk memastikan kanak-kanak membesar dengan bebas daripada diskriminasi, keganasan dan eksploitasi dalam suasana selamat dan sejahtera.

BACA LAGI: Parlimen lancar kutipan dana Tabung Kemanusiaan Palestin

Sementara itu, ketika berucap pada program sambutan Hari Kanak-kanak 2023 di blok utama Parlimen Johari berkata, Dewan Rakyat turut berperanan memastikan agenda memperkasakan hak kanak-kanak dikekalkan.

Menurut Johari beliau percaya bahawa apa jua inisiatif yang dilaksanakan untuk memanfaatkan kanak-kanak merupakan satu pelaburan yang bijak memandangkan mereka bakal menerajui kepimpinan negara.

“Parlimen Malaysia komited dalam memastikan hak kanak-kanak dilindungi melalui penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat yang bertindak sebagai mekanisme semak dan imbang serta mata dan telinga rakyat dalam memantau pelaksanaan dasar serta program kerajaan,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button