Semasa

Bekas ketua hakim akan pengerusikan jawatan kuasa khas undang-undang syariah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar pada Selasa memaklumkan, seorang bekas ketua hakim akan dipilih mempengerusikan jawatankuasa khas untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah.

Bercakap pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa, beliau turut berkata antara yang akan menganggotai jawatankuasa itu ialah bekas hakim, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Kehakiman Syariah Negara, wakil daripada majlis agama Islam negeri, ahli akademik yang pakar undang-undang sivil, syariah dan Perlembagaan Persekutuan serta peguam syarie dan sivil.

“Jawatankuasa khas itu dijangka bersidang untuk kali pertama pada 4 Disember ini bagi menetapkan hala tuju dalam pelaksanaan kajian dan penyelidikan seterusnya mengesyorkan cadangan penyelesaian kepada masalah perundangan Islam di Malaysia.

“Ini merupakan satu usaha dan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan isu konflik bidang kuasa antara Persekutuan dengan negeri dan antara mahkamah sivil dengan mahkamah Syariah, demi memartabatkan dan memperkasa perundangan syariah dan sistem kehakiman Syariah di negara ini,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Saad (PN-Pokok Sena) berhubung perkembangan cadangan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) tentang penubuhan jawatankuasa khas untuk melaksanakan kajian terhadap kompetensi Dewan Undangan Negeri dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

BACA LAGI: Umur persaraan Hakim Mahkamah Syariah dicadang dinaikkan kepada 66 tahun

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan telah bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diperakui oleh Majlis Raja-Raja dalam usaha untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa mempengerusikan mesyuarat MKI pada 28 Ogos lepas.

Anwar berkata, jawatankuasa khas itu akan melakukan penelitian termasuk berbincang dengan mufti dan semua pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan supaya ada peraturan yang boleh dilaksanakan dalam meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah termasuk melibatkan bidang kuasa persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan penggubalan undang-undang.

Related Articles

Back to top button