AnwarSemasa

Lantang bela Palestin di pentas antarabangsa, namun PM tak lupa isu dalam negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, kehadiranya ke banyak persidangan antarabangsa baru-baru ini terutama bagi membangkitkan isu Palestin dengan lantang tidak bermakna mengabaikan masalah dalam negara terutama membabitkan kalangan minoriti.

Perkara itu ditegaskan Anwar pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Selasa yang menjelaskan selain memenuhi undangan pemimpin antarabangsa, persidangan dihadirinya satu kesempatan untuk beliau membangkitkan isu Palestin yang bersifat kemanusiaan dan bukannya hanya bersifat agama semata-mata.

“Tidak ada minoriti kita yang dibunuh beramai-ramai, tidak ada kemusnahan gereja dan kuil-kuil, jadi sementara ada pihak kurang setuju dengan langkah kita menyokong Palestin, saya tidak fikir wajar, munasabah dan waras untuk dibangkitkan soal kebencian ini.

“…ini bukan sahaja isu agama Islam, kerana penduduk Kristian juga terlibat, walaupun kebanyakan masjid dirobohkan, tujuh gereja turut dimusnahkan sama di Gaza, (jadi) saya tegaskan keperluan kita melihat isu ini,” katanya.

Mengulas beberapa siri persidangan dihadirinya Anwar berkata, pada Persidangan Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dihoskan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman, beliau telah menggesa negara anggota untuk mendesak pelaksanaan gencatan senjata serta-merta, manakala bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza disegerakan.

Pada masa yang sama, Anwar berkata beliau turut membangkitkan isu Palestin pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan mahukan pembunuhan dan kekejaman di Gaza dihentikan segera.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pada persidangan APEC yang dihadirinya atas undangan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden itu, beliau sekali lagi menyuarakan pendirian Malaysia yang tidak mahu mana-mana pihak atau kuasa dunia untuk menentukan pendirian negara dalam isu terbabit.

“Jangan lagi orang barat anggap ini sebagai hegemoni kolonial, menentukan dasar dan bentuk tindakan kita, mereka tidak boleh paksa kita tentukan pendirian kita.

“Di situlah saya nyatakan agak tegas dan saya kata mesti sekurang-kurangnya mula menghentikan serangan sekarang, kerana saya sebut satu hari tambahan (perang) bermakna masih ada anak-anak, wanita dan orang awam dijadikan mangsa korban,” katanya.

Related Articles

Back to top button