MSN teliti pelaksanaan caruman KWSP, Perkeso untuk lindungi kebajikan atlet
Kebajikan para atlet negara antara perkara yang diberi perhatian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) .
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, pihaknya kini sedang meneliti pelaksanaan caruman seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk golongan itu mulai Januari tahun depan.
“Lembaga pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini telah meluluskan kajian semula skim elaun latihan atlet kebangsaan dengan memberikan penekanan kepada kesejahteraan serta kebajikan atlet dalam program MSN.
“Pihak MSN sedang meneliti pelaksanaan caruman KWSP dan Perkeso untuk semua atlet di bawah program Podium mulai Jan 2024.
“Ini merupakan satu langkah ‘game changer’ untuk atlet kita, kerana tak pernah dilaksanakan untuk menjaga kebajikan atlet,” jelasnya.
Hannah berkata demikian ketika sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Dewan kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM1,124,555,600 yang diperuntukkan kepada KBS dalam Belanjawan 2024 dengan lebih suara menyokong selepas dibahas 20 Ahli Parlimen.
Dalam pada itu, Hannah turut memaklumkan program Rakan Muda tahun hadapan akan memberi tumpuan kepada memberi pendedahan politik kepada anak muda.
Supaya mereka dapat memahami proses pemilihan ahli Parlimen serta ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
“Ada yang sudah puluhan tahun (usia), namun tidak dapat bezakan antara ahli Parlimen dan Adun,” katanya.