Mahkamah

Fadhlina tuntut Ahli Parlimen Jasin, Harakah Daily minta maaf kerana didakwa memfitnah

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memulakan tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail dan portal milik Pas, Harakah Daily berikutan dakwaan kononnya takbir serta bacaan doa Qunut Nazilah tidak dibenarkan semasa penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah baru-baru ini.

Menerusi LOD yang dihantar oleh Firma Ibrahim & Fuaadah bertarikh 21 November 2023, Fadhlina mendakwa artikel disiarkan Harakahdaily bertajuk “Ajaran Siapa Tak Boleh Takbir di Sekolah?” membawa maksud Fadhlina tidak membenarkan takbir dan bacaan doa Qunut Nazilah di sekolah sempena program tersebut.

Dakwa firma itu, kenyataan berkenaan menggambarkan anak guam mereka mempunyai akidah yang terpesong kerana terlibat di dalam ritual agama lain.

“Anak guam kami menegaskan bahawa fitnah amat berat kepada pihak berkenaan telah mempersoalkan pegangan agama yang menjadi asas kemanusiaan dalam kehidupan seseorang.

“Ia lebih-lebih lagi kenyataan tersebut merujuk kepada Fadhlina sebagai seorang munafik dan berpura-pura menunjukkan keimanan,” kata firma tersebut.

BACA LAGI: Fadlina kecewa Minggu Solidariti Palestin dipolitikkan hingga jadi polimik

Sehubungan itu Fadhlina menuntut Zulkifli dan Harakah Daily diarahkan menarik balik artikel yang didakwa memfitnahnya itu dalam tempoh 48 jam.

Kedua-dua pihak juga dituntut menyiarkan penarikan balik artikel itu dalam semua platform mereka dan memohon maaf tanpa syarat seperti diluluskan peguam.

Mereka turut dituntut memberikan aku janji dan jaminan bertulis untuk tidak akan menyiarkan dan menyebarkan apa-apa pernyataan fitnah terhadap Fadhlina, serta membayar ganti rugi RM500,000 bagi kecederaan terhadap reputasi dan nama baik menteri terbabit.

Melalui surat tuntutan itu, Fadhlina turut menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) atau beliau sendiri tidak pernah mengeluarkan sebarang bentuk larangan untuk membuat bacaan Qunut Nazilah atau takbir bagi sambutan Minggu Solidariti Palestin di sekolah seluruh Malaysia.

“Ia seperti ditegaskan dalam Sidang Parlimen bertarikh 2 November lalu, sambutan Minggu Solidariti Palestin yang antaranya untuk mendidik anak-anak di sekolah dengan nilai kemanusiaan dan pendidikan kedamaian, seharusnya disambut berdasarkan corak latar belakang sekolah yang bersifat dinamik dengan pelbagai kepercayaan masing-masing.

“Ia adalah terserah kepada guru di sekolah berkenaan untuk menentukan cara yang terbaik bagi sambutan kerana Kementerian Pendidikan percaya bahawa hanya guru lebih mengenali dan memahami latar belakang sekolah masing-masing,” katanya.

Related Articles

Back to top button