Parlimen

Kerajaan belanja RM9.65 bilion tangani penyakit tidak berjangkit – Menteri

Kerajaan membelanjakan sejumlah RM9.65 bilion merangkumi 16.8 peratus daripada jumlah perbelanjaan kesihatan negara bagi menangani masalah penyakit tidak berjangkit (NCD).

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, anggaran itu dibuat pada tahun 2017 dan laporan dikeluarkan melalui The Direct Health-care Cost Of Non Communicable Disease In Malaysia oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia pada 2022.

Katanya, kajian kesihatan dan morbiditi kebangsaan 2019 juga mendapati 50 peratus rakyat Malaysia sekurang-kurangnya menghidap satu penyakit tidak berjangkit iaitu tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi.

“Kencing manis ataupun diabetes di Malaysia adalah tertinggi di Asia Tenggara di mana negara mencatatkan peningkatan ketara daripada 11.2 peratus pada 2011 kepada 18.3 peratus pada 2019, iaitu menunjukkan satu dalam dua kes kencing manis

“Jumlah perbelanjaan bagi penyakit diabetes adalah sebanyak RM4.38 bilion iaitu 45.38 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan penyakit NCD diikuti dengan perbelanjaan merawat penyakit kardiovaskular sebanyak RM3.93 bilion yang merupakan 40.73 peratus dan RM1.34 bilion iaitu 13.89 peratus bagi merawat penyakit kanser.

“Perbelanjaan itu merangkumi kos kemasukan ke hospital, penjagaan primer di klinik kesihatan, rawatan pesakit luar di hospital, pemeriksaan dan ujian kesihatan serta pembiayaan perubatan,” katanya.

Dr Zaliha menjawab pertanyaan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang ingin tahu jumlah dibelanjakan untuk menangani NCD terutamanya diabetes dan perancangan untuk menangani prevalens NCD yang tinggi di Malaysia.

Beliau berkata, laporan pelan strategi mengurangkan penyakit buah pinggang yang kronik mendapati 65 peratus daripada pesakit yang memerlukan rawatan dan dialisis adalah daripada kalangan mereka yang menghidap kencing manis.

Menurutnya lagi, pada 2017 NCD telah memberi impak yang negatif kepada ekonomi yang mana kos tidak langsung akibat NCD membabitkan RM12.88 bilion dalam bentuk kehilangan produktiviti.

“Diabetes mencatatkan kehilangan produktiviti sehingga RM5.74 bilion dan kardiovaskular sebanyak RM5.32 bilion.

“Justeru, KKM melaksanakan beberapa inisiatif termasuk memperkasa implimentasi pelan komprehensif yang dinamakan pelan startegik kebangsaaan untuk menangani penyakit NCD 2016 hingga 2025.

KKM turut melaksanakan beberapa program lain termasuk program komuniti, aktiviti advokas, memperkukuhkan aktiviti saringan kesihatan, pelaksanaan aktiviti promosi dan pendidikan kesihatan di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), selain pengenaan duti eksais terhadap minuman bergula ready to drink (RTD).

Related Articles

Back to top button