Anwar

Keyakinan syarikat gergasi dunia melabur di Malaysia atas dasar kerajaan yang jelas – PM Anwar

Kestabilan politik dikecapi di bawah Kerajaan Perpaduan dalam tempoh setahun berjaya mengundang banyak industri gergasi dunia melabur di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ia termasuk syarikat Google, TikTok, Infineon Technologies AG, syarikat automotif China, Geely dan Tesla yang yakin dengan kemampuan Malaysia kerana kini mempunyai dasar jelas.

“Saya tanya mereka apa keistimewaan di Malaysia. Sekarang, Alhamdulillah politik stabil. Politik stabil itu membantu memberi keyakinan kepada mereka, ada dasar yang jelas.

“Maknanya dia tahu, dia datang sini, ini dasar ekonominya, ini dasar perindustrian, ini ekonomi Madani, ini transisi tenaga. Saya bersyukur Malaysia menjadi perhatian semula selepas ketinggalan beberapa lama,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) dan Anugerah Tokoh Mahir 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, Timbalan Menteri Kerja Raya, Abdul Rahman Mohamad, Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Zulkapli Mohamed.

Menurut Anwar, setiap pelaburan yang diterima akan membuka peluang kepada rakyat untuk menceburi bidang berkemahiran tinggi.

Tambahnya, Malaysia tidak boleh lagi dikenali sebagai negara yang senang toleransi dengan rasuah dan penyelewengan.

Justeru, beliau mengingatkan setiap dana mesti diurus dan digunakan dengan baik.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button