Nasional

LKAN 2022: RM681.71 juta dana awam telah dibazirkan

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 mendapati sejumlah RM681.71 juta dana awam direkodkan hilang susulan kegagalan pelaksanaan enam inisiatif kerajaan ketika itu.

Mengikut perincian laporan yang diterbitkan pada Rabu, kegagalan pengurusan membabitkan program penanaman padi telah menyebabkan negara rugi RM660.14 juta, iaitu nilai dana awam tertinggi yang dibazirkan.

Ia diikuti pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (RM14.33 juta); pengurusan dan kawal selia senjata api jabatan dan agensi di bawah kementerian dalam negeri (RM6.34 juta).

“Ia turut membabitkan pengurusan program pemuliharaan kawasan perlindungan marin (RM0.49 juta) dan program galakan pelaburan bagi sektor perkilangan (RM0.29 juta) dan pengurusan program bandar selamat (RM0.12 juta).

“Perkara ini antaranya berkaitan pemberian pengecualian denda yang dikenakan ke atas kelewatan pembekalan dan penghantaran baja, penyaluran subsidi dan insentif pesawah tidak optimum.

“Ia juga membabitkan kegagalan mengutip hasil pajakan tanah dan perolehan secara penggantian pelupusan senjata api tidak dibekalkan sepenuhnya,” kata Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi melalui LKAN 2022.

BACA LAGI: Kerajaan pacu usaha bina semula ruang fiskal ekonomi negara

Dalam pada itu LKAN 2022 juga mendedahkan sebanyak RM21.35 juta pembaziran dana awam meliputi tiga program iaitu pengurusan pekerja asing bersepadu (ePPAx) dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) sebanyak RM19.39 juta.

Pengurusan program pemuliharaan kawasan perlindungan marin (RM1.04 juta), dan pengurusan program memperkasakan kapasiti, kebolehan dan daya saing industri pembinaan (RM0.92 juta).

Sementara itu, dua program dikesan tidak melaksanakan pembayaran secara teratur iaitu pengurusan program podium sukan elit (RM1.47 juta) dan pengurusan program memperkasakan kapasiti, kebolehan dan daya saing industri pembinaan (RM0.05 juta).

Sebanyak tiga LKAN Tahun 2022 dibentangkan di Dewan Rakyat pada Rabu, iaitu LKAN 2022 Mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan; LKAN 2022 Mengenai Auditan Khas Pengurusan Hutan dan Impak kepada Alam Sekitar; dan LKAN 2022 Mengenai Aktiviti Kementerian / Jabatan / Negeri dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri.

Orang awam yang berminat untuk mengetahui perincian laporan tersebut boleh mendapatkannya di laman rasmi Jabatan Audit Negara di https://lkan.audit.gov.my, dan juga dashboard Jabatan Audit Negara di h https://agdashboard.audit.gov.my/.

Related Articles

Back to top button