Semasa

Pakar sambut baik penubuhan Jawatankuasa Khas Syariah

Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penubuhan jawatankuasa khas ke arah memperkasa dan memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah disambut baik.

Pensyarah Wacana Aqidah, Fiqh dan I’jaz al-Quran, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu adalah langkah yang tepat bahkan ia perlu dilaksanakan dengan segera.

“Isu perundangan syariah sering kali berhadapan pelbagai cabaran berat khususnya apabila ia melibatkan pertindihan bidang kuasa dengan Mahkamah Sivil,” jelasnya.

Dr Mohd Sukki juga berkata prinsip Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan secara dasarnya memberi kuasa penuh kepada Mahkamah Syariah mengadili semua kes melibatkan hal ehwal yang berkait dengan agama Islam dan ia adalah sebagai salah satu usaha dalam memartabatkan perundangan syariah dalam negara.

Namun, konflik di sebalik peruntukan ini jelasnya timbul apabila terdapat isu seperti pembubaran perkahwinan sepasang suami isteri disebabkan salah seorang dari mereka bertindak menukar agama.

“Bermula dari pembubaran perkahwinan, konflik terus merebak hingga kepada hak penjagaan anak termasuk status agama.

“Oleh yang demikian, perbezaan yang ada pada amalan perundangan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah sepatutnya dapat dijernihkan dan diharmonikan dengan baik.

“Contohnya ialah kes-kes tertentu yang melibatkan pertindihan bidang kuasa yang dibicarakan oleh Mahkamah Sivil hendaklah dibantu oleh seorang Hakim Mahkamah Syariah. Keputusan mengenai hukum Syarak dibuat oleh Hakim Mahkamah Syariah. Keputusannya mengikat Hakim Mahkamah Sivil,” katanya dipetik laporan Bernama.

Perdana menteri, mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas itu di Dewan Rakyat Pada Selasa.

Jelasnya, jawatankuasa itu yang diperakui oleh Majlis Raja-Raja akan meneliti dan berbincang dengan mufti serta semua pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan supaya ada peraturan yang boleh dilaksanakan dalam meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar kemudian berkata seorang bekas ketua hakim negara dipilih untuk mempengerusikan jawatankuasa khas bagi mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN berkenaan penggubalan undang-undang syariah.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Qur‘an dan Sunnah, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berkata antara punca lain berlaku konflik perundangan adalah apabila Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meluluskan apa-apa enakmen di peringkat negeri yang berisiko bertembung dengan bidang kuasa Perlembagaan Persekutuan atau Mahkamah Sivil.

Walaupun konflik itu jelasnya sukar diselesaikan secara total namun, penubuhan jawatankuasa khas itu adalah pendekatan yang baik dalam usaha untuk meminimumkan konflik yang lebih besar pada ketika ini.

Related Articles

Back to top button