ekonomi

Penganalisis akui kestabilan pentadbiran Anwar asas tarik pelabur ke negara ini

Penganalisis mengakui kestabilan politik menjadi faktor utama pelaburan asing termasuk Amerika Syarikat (AS) ke negara ini.

Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School dipetik laporan portal FMT berkata pelabur masih melihat kestabilan politik sebagai salah satu kriteria utama sebelum melabur.

Menurut Ahmed Razman, keadaan Malaysia kini semakin kondusif untuk melabur terutama kerana kerajaan Anwar dilihat stabil dengan majoriti selesa.

“Kerajaan perpaduan juga dijangka kekal memerintah sehingga tamat penggal, ada juga tambahan sokongan daripada empat Ahli Parlimen Bersatu,” katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menteri kewangan menghadiri Persidangan Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang turut dimanfaatkan untuk mencari pelaburan baharu.

Anwar berkata wakil kerajaan termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz menjelaskan komitmen Malaysia semasa pertemuan dengan pelabur asing, yang membawa hasil pelaburan langsung asing berjumlah RM63.02 bilion.

BACA LAGI: Misi Malaysia berjaya, raih pelaburan bernilai RM63.02 bilion dari AS

Tambahnya, pendirian tegas Malaysia mengutuk serangan rejim Zionis Israel terhadap Gaza di Palestin tidak menjejaskan ekonomi dan pelaburan syarikat asing khususnya dari Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak turut mengiyakan kenyataan Anwar.

Malaysia jelasnya sejak dahulu dikenali sebagai sebuah negara yang tegas mengutuk serangan regim Zionis terhadap Palestin.

“Tidak ada kesan secara nyata tentang ucapan-ucapan perdana menteri terhadap pelaburan. Walaupun mereka tahu kebanyakan negara Islam mengutuk Israel tetapi mereka masih melabur di Malaysia,” katanya menurut laporan itu.

Related Articles

Back to top button