Semasa

PM beri ‘lampu hijau’ agar Konvensyen Pemikiran Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi diteruskan ?

Ada petanda positif diisyaratkan dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) berhubung penganjuran Konvensyen Pemikiran Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi yang asalnya dijadualkan pada hujung minggu ini.

Seorang ahli panel program tersebut Abu Hafiz Saleh Hudin dipetik laporan media berkata, kemungkinan besar program anjuran Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim Malaysia itu bakal dilangsungkan seperti dijadualkan.

“Dengan komitmen dari PMO berkemungkinan besar program tersebut akan berlangsung seperti jadual asal,” katanya dipetik Malaysiakini.

Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim Malaysia pada Rabu membuat hantaran menyatakan rasa kecewa mereka apabila Konvensyen Sunnah ke-11: Pemikiran Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi Dalam Pembentukan Negara Madani terpaksa ditangguhkan.

BACA LAGI: Kefahaman ilmu jadi asas tegak syiar Islam – PM Anwar

Menurut pentadbir akaun itu, keputusan tersebut diambil selepas Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan tidak meluluskan permohonan tauliah khas kepada beberapa ahli panel konvensyen tersebut.

Berdasarkan poster program yang mahu diadakan pada Ahad, 26 Nov ini di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, selain Abu Hafiz, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan pakar dalam bidang hadis Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle antara ahli panel dalam program membincangkan pemikiran ulama tersohor dunia itu.

Penganjur juga mendakwa setakat pagi semalam jumlah peserta sudah mencapat jumlah maksimum iaitu 550 orang.

Terdahulu, Asri mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah memberikan lampu hijau supaya acara membincangkan pemikiran Yusuf Al-Qaradawi di ibu negara Ahad ini diteruskan.

“YAB PMX baru sahaja bercakap dengan saya bahawa program hendaklah diteruskan,” katanya.

Asri bagaimanapun berkata dia tidak pasti perkembangan seterusnya dan masih menunggu tindakan penganjur.

Related Articles

Back to top button