Nasional

Terowong TRX mampu atasi masalah trafik di KL sehingga 30 peratus – Menteri

Pembukaan terowong bawah tanah Tun Razak Exchange (TRX) mulai 29 November 2023 dijangka mampu mengurangkan trafik masuk ke pusat bandar sebanyak 30 peratus.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, terowong TRX dihubungkan menerusi jalan raya utama seperti Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail, Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Terowong SMART dan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE).

“Dengan mengelakkan jalan raya yang sibuk, kenderaan menuju ke TRX tidak akan menambah kepada jumlah trafik sedia ada di jalan-jalan sekitarnya. Kenderaan yang masuk ke TRX melalui terowong pusingan ini akan terus ke tempat letak kenderaan di bawah bangunan dalam kawasan itu.

“Bagi sebuah projek nasional sebesar ini di lokasi bandar utama, TRX telah menjalankan banyak perancangan strategik untuk memudahkan akses bagi pengguna pengangkutan awam dan kenderaan persendirian. Ini sejajar dengan komitmen kerajaan untuk menjadikan TRX sebagai destinasi perniagaan dan sosial antarabangsa.

“Sebagai contoh, usaha sama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk projek Penyebaran Trafik Jalan Tun Razak yang baru selesai,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja bagi meninjau infrastruktur jalan raya di sekitar TRX, semalam.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd, Datuk Azmar Talib.

Nanta berkata, terowong TRX sepanjang lima kilometer itu dibina oleh Gadang Engineering (M) Bhd dan WCT Berhad, terdiri daripada dua aras dikhaskan untuk lalu lintas kenderaan dan satu aras bagi perkhidmatan utiliti.

Tambahnya, bagi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan TRX, Waze Beacon turut dipasang dalam terowong untuk menjamin navigasi tanpa gangguan di dalam kawasan tersebut.

Pembukaan Pusat Beli-Belah The Exchange TRX dan Taman Bandar TRX seluas empat hektar juga akan dibuka pada 29 November ini.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button