Anwar

Calon Menteri KPN sudah ada, akan diisi secepat mungkin – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan calon menteri yang akan menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah ada.

Beliau berkata, portfolio berkenaan akan diisi secepat mungkin, tidak lama lagi.

“Ada, ada (calon pengganti),” katanya ringkas ketika ditanya pemberita selepas solat Jumaat dan makan tengah hari di Surau Al Furqan, Presint 11, di Putrajaya, hari ini.

Anwar bagaimanapun tidak mendedahkan, siapa calon yang akan mengisi portfolio yang menggantikan penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang meninggal Julai lepas, tetapi mengesahkan ia akan dilaksanakan secepat mungkin.

Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 23 Julai lepas setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ketika ini dipangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Furqan Putrajaya bersama hampir 2000 jemaah.

Beliau tiba kira-kira jam 1.06 petang dan disambut Pengerusi Surau Al-Furqan, Datuk Sh Yahya Sh Mohamed dan pengurusan surau serta jemaah.

Khutbah bertajuk “Kepimpinan Yang Diberkati” dibacakan Khatib Mohd Zaini Ahmad dan seterusnya solat Jumaat diimamkan oleh Imam Syed Ahmad Syakuur Dihya.

Usai menunaikan solat, Anwar sempat beramah mesra dan menjamu selera bersama penduduk sekitar.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button