Gaza: gencatan senjata bukti kuasa masyarakat dunia – Kaukus Parlimen
Kaukus Parlimen Malaysia untuk Palestin menggesa komuniti antarabangsa memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan sampai ke Gaza.
Ketua kaukus Syed Ibrahim Syed Noh pada sidang media di Dewan Rakyat pada Khamis berkata, pihaknya menyambut baik gencatan senjata empat hari di wilayah bergolak itu.
Gencatan senjata bagi pertukaran tebusan dan tahanan antara rejim Israel dan pejuang Hamas itu dianggap langkah kecil ke arah matlamat akhir iaitu gencatan senjata secara keseluruhan.
“Persetujuan jeda kemanusiaan (humanitarian pause) itu telah diusahakan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat. Pengumuman semalam ini menunjukkan adanya perkembangan ke arah genjatan senjata, paling tidak pun gencatan sementara.
“Namun, selera Israel yang tidak pernah susut pada nyawa anak kecil, wanita dan orang tua besar kemungkinan menjadi halangan untuk kediaman tercapai.
“Komuniti kemanusiaan antarabangsa perlu segera menggembleng tenaga untuk memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang terdesak,” katanya yang juga Ahli Parlimen Ledang.
BACA LAGI: Speaker Dewan Rakyat titip doa agar kanak-kanak Palestin terlindung dari kezaliman
Al Jazeera memetik satu kenyataan dikongsi oleh pejuang Hamas di Telegram memberitahu, dalam tempoh ini Israel akan menghentikan tindakan ketenteraan di semua kawasan di Semenanjung Gaza, termasuk pergerakan kenderaan tentera.
Dalam gencatan senjata ini juga, ratusan trak bantuan kemanusiaan, termasuk bekalan perubatan dan bahan api, akan dibenarkan masuk ke Gaza.
Hamas juga berkata bahawa 150 wanita dan kanak-kanak Palestin yang ditahan di penjara Israel akan dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata gencatan itu juga membuktikan kuasa masyarakat dunia mampu menghentikan kekejaman Israel.
Selain itu ia juga menandakan Israel sedar akan kelemahan mereka yang masih gagal menguasai Gaza meskipun memiliki kekuatan senjata dalam pertempuran lebih enam minggu.