Hasil padi di Sekinchan tertinggi dalam negara hasil penerapan teknik terkini – Amirudin
Selangor menerapkan pelbagai teknologi dan teknik terkini bagi meningkatkan hasil pertanian di negeri itu.
Langkah itu berjaya apabila hasil padi di Sekinchan merupakan yang tertinggi dalam negara dengan setiap hektar mampu menghasilkan 12 tan padi berbanding sekitar empat tan di negeri lain.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu hantaran di Facebooknya pada Khamis berkata, selain faktor tanaman lima musim dalam dua tahun berbanding empat musim di negeri lain, prosedur operasi standard (SOP) penanaman tanaman itu juga rapi.
“Majoriti pesawah Sekinchan teliti daripada peringkat penyediaan tanah, penggunaan benih berkualiti, pembajaan teratur hingga kaedah mencegah serangan rumpai dan serangga perosak.
“Teknologi kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT) juga turut diterapkan bagi meningkatkan hasil tuaian,” jelasnya.
Amirudin turut memaklumkan infrastruktur sawah khususnya pengairan yang berkesan menjadi kelebihan Sekinchan untuk menghasilkan padi yang lebih baik.
BACA LAGI: Agihan kouta benih padi dikaji semula, elak masalah kurang bekalan – Mohammad Sabu
Pesawah di Sekincan juga jelasnya menggunakan teknik penanaman secara mencedung (transplanter) iaitu benih padi disemai terlebih dahulu di tapak semaian.
“Apabila anak padi mencapai tahap sesuai, lantas ditanam menggunakan jentera. Kaedah moden ini lebih baik untuk tumbesaran padi.
“Insya-ALLAH, kerajaan negeri akan terus memberi perhatian serius membangunkan industri tani selari dengan perkembangan zaman.
“Selain bermanfaat untuk para petani, rakyat serta negeri turut mendapat manfaatnya,” tambah Amirudin.