Semasa

Jalan Pelabuhan Klang bakal diselenggara dengan peruntukan RM50 juta

Kerajaan Perpaduan akan memberi fokus kepada kerja penyelenggaraan Laluan Persekutuan yang sering digunakan oleh kenderaan berat di sekitar jalan Pelabuhan Klang, Selangor, tahun depan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan pada Khamis berkata, pihaknya akan melaksana usaha itu dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan akan melibatkan peruntukan RM50 juta dalam bentuk Geran Padanan bagi memastikan Laluan Persekutuan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan selasa kepada semua pengguna jalan raya.

“Senarai lokasi ini (penyelenggaraan) perlu disemak dengan teliti supaya ia mengambil kira kaedah rawatan yang sesuai bagi menampung beban kenderaan berat yang banyak di kawasan Pelabuhan Klang,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyusul lawatan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk melihat sendiri keadaan jalan di lokasi aduan dan beberapa kawasan yang sering berlaku kemalangan di Laluan Persekutuan di Klang.

Beliau turut meninjau lokasi kemalangan di Laluan Persekutuan FT3217, Jalan Industri Meru Seksyen 9.3 di Klang, yang mengorbankan seorang penunggang motosikal, pada 18 Nov lepas.

BACA LAGI: KPM ambil maklum video tular, RM12.5 juta disediakan untuk naik taraf SK Ulu Ansuan

Sementara itu KKR turut menggalakkan orang ramai membuat aduan berkaitan kerosakan jalan melalui aplikasi MyJalan KKR.

Aplikasi tersebut selain memudahkan pengguna membuat aduan adalah bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya serta mengurangkan kes kemalangan jalan raya yang diakibatkan kerosakan jalan.

Melalui kenyataan sama KKR turut memaklumkan sejumlah RM16.349 juta telah diperuntukkan sepanjang tahun ini di bawah Program Penyenggaraan Berkala Pavemen, Berkala Bukan Pavemen, Jambatan dan Penyenggaraan Lampu Jalan dan Lampu Isyarat di Jalan Persekutuan Daerah Klang.

Related Articles

Back to top button