Lebih 300,000 individu telah nikmati manfaat Skim Perubatan MADANI
Lebih 300,000 individu di seluruh negara telah menerima manfaat dari Skim Perubatan MADANI diperkenal Kerajaan Perpaduan.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis, sejak program itu diperkenal sejak Jun lalu, sejumlah 600,000 prosedur rawatan juga telah dilaksana di 2,347 fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara yang berdaftar dengan skim berkenaan.
“Skim ini antara usaha meningkatkan kelancaran perkhidmatan kesihatan kepada rakyat selain insiaitif lain termasuk melanjutkan operasi 52 Klinik Kesihatan kerajaan di seluruh negara selepas waktu pejabat serta proses janji temu dalam talian menerusi aplikasi MySejahtera di 903 Klinik Kesihatan,” katanya.
Skim Perubatan MADANI pertama kali diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2023 Februari lepas.
Ia ditawarkan secara automatik kepada penerima Bantuan Tunai Rahmah, memberikan mereka akses mudah dan cepat kepada perkhidmatan percuma di mana-mana klinik swasta berdaftar, termasuk perundingan, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan.
BACA LAGI: Kes tibi terkawal, sentiasa dipantau – Dr Zaliha
Sementara itu, Dr Zaliha turut memaklumkan kementerian optimis komitmen untuk menaik taraf 1,200 fasiliti kesihatan daif yang sudah dikenal pasti akan siap sepenuhnya pada 2025 sekali gus memenuhi keperluan semasa.
“436 fasiliti sedang dinaik taraf tahun ini dan dengan tatakelola baik (dari projek itu) kita dapat tambah 75 lagi fasiliti untuk dibaik pulih, manakala tahun depan dengan peruntukan ditambah RM300 juta, kita akan tambah baik 400 lagi fasiliti kesihatan.
“Kita juga dalam fasa melaksanakan perolehan 590 kenderaan ambulans yang dilengkapi peralatan perubatan dan akan diagihkan kepada hospital dan Klinik Kesihatan pada suku kedua tahun hadapan,” katanya.