AnwarSemasa

PM Anwar optimis Malaysia bakal bangkit jadi negara hebat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Malaysia bakal menjadi negara hebat di rantau ini dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.

Keyakinan itu dinyatakan beliau pada majlis kesyukuran sempena setahun pentadbiran Kerajaan Madani di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj), Presint 3,Putrajaya semalam.

“Alhamdulillah politik stabil dan doalah supaya empat tahun sehingga pilihan raya akan datang tidak ada ganggu gugat lagi,” katanya dalam ucapan itu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan sebelumnya tiba kira-kira pukul 6.15 petang sebelum disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Ali Zuki dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sempat menyantuni rakyat di ruang jamuan sebelum bergerak ke tempat makan untuk menjamu selera.

BACA LAGI: Setahun PM Anwar,Membentang gagasan Malaysia Madani

Difahamkan, lebih 5,000 hadir terdiri daripada rakyat pelbagai kaum, penjawat awam dan pelajar tahfiz hadir ke majlis yang meraikan tempoh setahun pentadbiran Kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar bersama parti komponen lain dalam PH, Barisan Nasional (BN); Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan beberapa parti lain.

Majlis dimulakan dengan jamuan makan diikuti solat maghrib berjemaah, solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat.

Program kemudian diteruskan dengan amanat oleh Perdana Menteri sebelum majlis diakhiri dengan solat Isyak berjemaah.

Majlis diserikan dengan kehadiran isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Related Articles

Back to top button