Pilihanraya

PRK Kemaman: 387 anggota polis tunai tanggungjawab undi pos

Pegawai dan anggota polis melaksanakan tanggungjawab mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

Seramai 387 anggota polis terlibat menunaikan tanggungjawab tersebut yang bermula pukul 9.10 pagi dan segala proses pengundian berjalan lancar.

Terdahulu, kertas undi pos diagihkan kepada anggota dan pegawai sebelum mereka mengundi dan memasukkan kertas undi ke dalam beg undi pos Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pihak polis telah menukar kaedah mengundi dari mengundi awal kepada mengundi secara pos sebagai langkah dalam memastikan kesiapsiagaan anggota memberi tumpuan kepada kerja-kerja menyelamat dan bertugas pada musim banjir.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan turut meninjau proses undi pos pegawai dan anggota polis bagi PRK Parlimen Kemaman di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman.

Beliau yang tiba di IPD Kemaman pukul 9.45 pagi tadi turut bermesra dengan pegawai dan anggota polis yang terlibat.

PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi Pas.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button