Sukan

Qabil tunai janji, muncul juara FIM MiniGP 2023

Pelumba cilik negara Qabil Irfan Azlan muncul juara keseluruhan Siri Dunia MiniGP 2023 di Valencia, Sepanyol pada Khamis.

Sesuai dengan janjinya sebelum ini untuk mengatasi pencapaian musim lalu, pelumba berusia 11 tahun itu telah membuktikan dirinya bakat terbaik untuk diketengahkan dalam sukan pemotoran.

Pada perlumbaan di Litar Kart Ricardo Tarmo hari semalam, Qabil tampil cemerlang apabila melakar kemenangan hatrik sejurus muncul juara pada perlumbaan 1, perlumbaan 2 dan perlumbaan Superfinal yang berlangsung sekaligus membolehkan Qabil meraih 100 mata bersih bagi membolehkan dia dinobatkan sebagai juara keseluruhan perlumbaan 160cc.

“Syukur Alhamdulilah saya menang perlumbaan hari ini dan terima kasih kepada kru pasukan ZK Racing yang siapkan jentera saya.

“Tidak lupa kepada ayah dan mak saya yang sentiasa menyokong saya.Saya benar-benar gembira kerana berjaya melakar tiga kemenangan pada hari ini. ” kata Qabil yang menamatkan saingan Superfinal dengan catatan 14 minit 08.764 saat.

BACA LAGI: Qabil tekad atasai pencapaian tahun lalu

Hasil keputusan tersebut, pelumba Jepun, Kotaro Togashi berada di tangga kedua keseluruhan dengan mengumpul 76 mata dan diikuti pelumba Sepanyol, Enzo Zaragoza ditempat ketiga dengan mengumpul 65 mata.

Sebagai rekod, Qabil menduduki tempat ketiga bagi kejuaraan tersebut pada tahun lalu. Beliau baru-baru ini menyatakan tekad untuk mengatasi pencapaian tersebut.

Related Articles

Back to top button