Rombakan Kabinet: Januari? Kenapa Januari? Tak Disember – PM Anwar
Persoalan mengenai rombakan kabinet dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menginjak usia setahun masih tidak terungkai.
Pemberita yang bertanyakan Anwar sama ada akan berlaku rombakan kabinet pada Januari depan tidak mendapat jawapan seperti yang diinginkan untuk merungkaikan persoalan itu semasa ditemui selepas Majlis Kesyukuran Sempena Setahun Pentadbiran Kerajaan Madani di Putrajaya, malam tadi.
“Kenapa Januari, tak Disember?,” kata Anwar berseloroh serta berlalu tanpa mengulas lanjut.
Desas-desus mengenai rombakan Kabinet menjadi perhatian susulan kekosongan portfolio Menteri Perdagangan dan Kos Sara Hidup yang ditinggalkan Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lepas.
Jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ketika ini dipangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali. – Bernama
Baca lagi: