Anwar

Dana Komuniti MADANI bakal ditambah menjadi RM2 bilion – PM Anwar

Dana Komuniti MADANI sebanyak RM1 bilion yang dibentangkan menerusi inisiatif Belanjawan 2024 bakal ditambah kepada RM2 bilion sekiranya pelaksanaannya yang memberi fokus meningkatkan taraf ekonomi rakyat dilaksanakan dengan berkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu dijangka dilaksana sebelum akhir tahun depan bagi membantu setiap kampung dan penempatan komuniti menjalankan kegiatan ekonomi.

Menurut beliau, ia merupakan pendekatan pertama seumpamanya yang dilaksanakan di negara ini sekali gus bakal memberi manfaat kepada puluhan juta rakyat.

“Bukan pegawai kementerian yang akan luluskan projeknya, tetapi kerajaan akan bagi wang ini kepada penghulu, penggawa atau jawatankuasa kampung yang akan memutuskan apakah projek ekonomi untuk kampung mereka.

“Ini kali pertama kita laksanakan bukan untuk tujuan membaiki jambatan atau masjid, itu peruntukan lain, yang ini hanya untuk tujuan aktiviti ekonomi seperti tanam sayur atau membuat kraftangan yang diputuskan oleh mereka sendiri,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Desa (KUD) di Putrajaya, hari ini.

Jelasnya lagi, seluruh agensi dan jabatan bawah kementerian perlu mengambil perhatian berhubung inisiatif untuk membantu mana-mana jawatankuasa komuniti dalam melaksanakan aktiviti ekonomi itu.

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan ditugaskan untuk memantau pelaksanaan dan perjalanan inisiatif berkenaan.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button