Politik

Golongan wanita sebagai wakil rakyat terus jadi agenda pemberdayaan Wanita PKR – Fadhlina

Usaha meningkatkan jumlah perwakilan wanita di Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kepimpinan Cabang perlu terus menjadi agenda pemberdayaan Wanita PKR, kata ketuanya Fadhlina Sidek.

Katanya, berdasarkan laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF 2023) dalam kalangan negara ASEAN menunjukkan Malaysia berada di tangga tercorot dalam penguasaan atau penglibatan wanita dalam politik.

“Malah sasaran mencapai 30 peratus calon wanita dalam pilihanraya juga dianggap jauh kerana hanya 12 peratus calon wanita dipertaruhkan untuk Pilihan raya Negeri (PRN) 2023.

“Walaupun terdapat banyak inisiatif bagi meningkatkan agenda 30 peratus perwakilan wanita di Parlimen, ada banyak faktor yang menyebabkan kekurangan perwakilan wanita di Parlimen atau DUN termasuk ekosistem politik dan parti politik itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR ke-17 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, hari ini.

Fadhlina berkata, menerusi wakil wanita, ia mampu menentukan dasar dan polisi lebih baik bagi melindungi kaum hawa, kanak-kanak dan warga emas serta polisi yang cenderung mengarusperdanakan jantina.

Beliau berkata, dengan wakil jantina secara adil dan saksama, isu berkaitan keganasan rumahtangga, gangguan seksual, kesihatan mental, penuaan bermaruah, kesihatan keluarga, pembabitan dalam ekonomi dan tenaga kerja negara dan pembangunan keluarga dapat diperjuangkan dengan lebih efektif.

“Atas sebab itu, penting untuk Wanita PKR terus konsisten dalam memperjuangkan hak wanita dalam isu keganasan rumahtangga, perlindungan kanak-kanak, kewarganegaraan anak yang ibunya adalah warganegara Malaysia, advokasi berkaitan gangguan seksual dan pemberdayaan wanita dalam pembinaan negara masih menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau juga berharap supaya pimpinan parti terus komited dalam memastikan representasi wanita dalam setiap pilihan raya.

Ketika ini, selain Fadhlina daripada PKR yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan, pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut melantik Dr Zaliha Mustafa sebagai Menteri Kesihatan dan Senator Fuziah Salleh (Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup).

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button