Politik

Kongres Nasional PKR 2023: Kepimpinan berbakat besar dalam pelbagai bidang diperlukan oleh PKR – Rafizi

Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli menyeru agar parti mengumpulkan seramai mungkin anggota yang berbakat besar dalam pelbagai bidang untuk digilap dan diangkat sebagai kepimpinan parti terutamanya bagi sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Kalau saudara saudari mengambil alih kepimpinan negara 10 tahun dari sekarang bersediakah saudara saudari? Tak ada orang bersedia sepenuhnya.

“Sebab itu saya berharap perlu diberikan perhatian yang khusus selepas ini mengenai persoalan idealisme dan persoalan ‘talent’ (bakat kepimpinan). Bakat kepimpinan itu memerlukan kepelbagaian, memerlukan satu struktur yang sistematik.

“Manakala sebahagian dari jalan itu adalah dengan memastikan gerak kerja yang ditampilkan daripada tokoh-tokoh (AMK dan Wanita PKR) yang digilap (bakatnya), yang ada kesan kepada masyarakat,” kata Rafizi dalam ucapan perasmian Kongres Tahunan AMK dan Wanita PKR, hari ini.

Beliau berharap selepas kongres hari ini parti akan berjaya menarik lebih ramai bakat yang berbeza-beza untuk mendepani kepimpinan di dalam AMK dan Wanita PKR sebagaimana pada ketika parti itu bermula 25 tahun lalu.

Rafizi berkata, kepelbagaian latar belakang golongan profesional dalam PKR pada waktu itu telah menjadi tarikan kepada masyarakat untuk meyakini PKR sebagai parti yang mampu memerintah negeri dan negara pada dekad berikutnya.

“Supaya Parti Keadilan Rakyat ini (pada masa hadapan) mempunyai satu kumpulan kepimpinan yang melangkaui berpuluh tahun, 40 hingga 50 tahun akan datang yang bersesuaian dengan cabaran dan tugas mengikut masa yang ada.

“Kalau itu kita boleh buat dalam tempoh beberapa tahun akan datang, maka sumbangan saudara saudari adalah lebih besar daripada kami yang sudah sampai ke peringkat nak ‘punch out’ 5 hingga 10 tahun lagi,” katanya.

Seramai 2,374 perwakilan dan 1,500 pemerhati dari seluruh negara serta pimpinan utama parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan dan wakil-wakil 50 kedutaan asing dijangka menghadiri kongres tersebut.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button