Semasa

Kerajaan ambil maklum hasil kaji selidik Merdeka Center – Fahmi Fadzil

Kerajaan mengambil maklum laporan kaji selidik Merdeka Center berhubung pentadbiran setahun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata, laporan kajian itu akan dilihat daripada sudut pandang positif, iaitu untuk menambah baik usaha menyelesaikan masalah termasuk isu ekonomi.

Melalui satu kenyataan beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) menambah, kerajaan mengambil maklum laporan berkenaan walaupun ia bersifat ‘snap shot’ atau ‘keratan rentas’ pada ketika itu.

“Seperti yang disebut Perdana Menteri pada majlis sambutan setahun Kerajaan Perpaduan di Putrajaya pada 23 November, tahun hadapan kerajaan akan memberi fokus kepada pembangunan ekonomi termasuk pendapatan rakyat.

“Insya-ALLAH, dengan dasar Ekonomi Madani, Pelan Induk Industri Baru (NIMP) 2030, usaha membanteras rasuah dan menambah baik tadbir urus kerajaan termasuk memudah cara perniagaan dan pelaburan, hala tuju pertumbuhan ekonomi berada pada landasan yang betul,” katanya.

Laporan kaji selidik Merdeka Center mendedahkan prestasi Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Anwar merosot pada 41 peratus pada Oktober lalu.

Bagaimanapun, peratusan tersebut dilihat tinggi berbanding prestasi pentadbiran lalu melibatkan kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN) – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2018.

BACA LAGI: Kerajaan akan mula tadbir urus lebih tegas, pantas mulai tahun depan

Sementara itu, Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, hasil kajian berkenaan tidak menggambarkan pandangan keseluruhan rakyat Malaysia, sebaliknya hanyalah daripada sekumpulan responden sahaja.

Walau bagaimanapun jelasnya, rating kelulusan yang diterima Anwar itu lebih meyakinkan berbanding kerajaan sebelum ini, misalnya Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu kira-kira 30 peratus dan Tan Sri Muhyiddin Yassin antara 30 hingga 40 peratus.

“Pada saya selepas setahun, kalau betul itu tinjauan mewakili seluruh rakyat Malaysia, kita ada banyak lagi ikhtiar untuk memastikan majoriti rakyat, 32 juta rakyat ini dapat dijaga dengan baik oleh kerajaan,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Related Articles

Back to top button