Semasa

Kerajaan tingkat keselamatan siber, komited tangani sebarang ancaman digital

Kerajaan Perpaduan memberi tumpuan terhadap isu-isu berkait ancaman keselamatan siber yang dianggap sebagai ancaman besar terhadap kesejahteraan individu, kestabilan infrastruktur kritikal negara dan perniagaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ancaman tersebut yang berkaitan ketirisan maklumat, jenayah siber, kerentanan teknologi dan hacktivism mampu menyebabkan kerugian wang ringgit, yang secara tidak langsung mengesankan ekonomi negara, dan tahap kemakmuran serta kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, penjenayah siber sentiasa berusaha mencari ruang mengeksploit setiap kelemahan sistem, aplikasi atau teknologi, untuk mencapai kepentingan dan memperoleh keuntungan.

Sehingga Oktober lepas jelasnya sebanyak 2,674 insiden siber telah dilaporkan kepada Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara (NC4), NACSA.

“Ruang maya merupakan domain baharu keselamatan dan geopolitik negara. Pelaku negara dan bukan negara (state and non-state actors), menggunakan pelbagai mekanisme untuk melemahkan keselamatan negara, tanpa perlu menyerang secara fizikal, dan hanya melalui serangan maya.

“Aktiviti-aktiviti seperti Ransomware dan Advanced Persistent Threats (APT) menjadi ancaman serius, terutama dari pihak-pihak yang mungkin mempunyai agenda yang bersifat geopolitik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan, selepas merasmikan program Pembangunan Kapasiti dan Dialog Awam Rang Undang-Undang Keselamatan Siber di Institut Antarabangsa Pemikiran Tamadun Islam dan Alam Melayu di Jalan Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin Bukit Tunku, di Kuala Lumpur pada Jumaat.

BACA LAGi: Usaha tingkat kesedaran keselamatan siber perlu dipergiat

Anwar sementara itu berkata, bagi menambah baik pengurusan keselamatan siber negara, Kerajaan telah melancarkan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (Malaysia Cyber Security Strategy, MCSS) 2020-2024.

Strategi tersebut jelasnya menggariskan secara komprehensif lima tonggak utama dengan 12 strategi dan 35 pelan tindakan untuk dilaksanakan, bagi mewujudkan persekitaran siber yang selamat, terpercaya dan berdaya tahan, di samping merangsang kemakmuran ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Strategi ini turut melibatkan pelaksanaan pelbagai inisiatif keselamatan siber, termasuklah pembentukan Rang Undang-undang Keselamatan Siber, dan pembangunan kapasiti dan keupayaan tenaga mahir bidang siber, serta pengukuhan kerjasama awam-swasta, dan hubungan antarabangsa,” katanya.

Related Articles

Back to top button