Koperasi KEADILAN Berhad bakal bangunkan aktiviti perniagaan berdasarkan kewangan Islam
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yakin Koperasi KEADILAN Berhad (KIRA) adalah model yang baik untuk menggerakkan ekonomi dalam kalangan akar umbi rakyat.
Pada ucapan di Majlis Makan Malam KIRA di Hotel InterContinental di Kuala Lumpur malam tadi beliau berkata, koperasi itu boleh menjadi bukti tanpa bantuan daripada kerajaan, mereka tetap dapat menjalankan aktiviti dengan baik dan menjalankan perniagaan yang kewangannya mampan.
“Kita sedang membangunkan beberapa model yang berdasarkan kewangan Islam, menggunakan konsep Muzakarah. Sudah tentu perlu melalui proses yang ketat dan perlu ada satu model perniagaan mampan.
“Kalau kita berjaya buktikan ini, saya berharap ia akan menjadi ikutan oleh bukan sahaja masyarakat tetapi parti-parti politik lain,” katanya dalam ucapan.
Koperasi KEADILAN Berhad (KIRA) adalah sebuah koperasi yang ditubuhkan dengan tujuan membantu anggota parti (yang menjadi anggota koperasi) menjana pendapatan menerusi aktiviti perniagaan yang ditawarkan serta menjaga kebajikan anggota koperasi.
Dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal tahun ini, ia didaftarkan secara rasmi di bawah Akta Koperasi 1993 pada 31 Januari lalu.
BACA LAGi: MEDAC lancar Mikro Madani, tawar pembiayaan untuk usahawan mikro hingga RM200,000
Sementara itu menurut Rafizi yang juga Timbalan Presiden KEADILAN berkata, penubuhan KIRA menjadikan mereka parti pertama yang menjaga kebajikan ahlinya dengan memperkenalkan model perniagaan koperasi.
Untuk suku tahun pertama 2024, pihaknya telah meletakkan beberapa sasaran untuk dicapai koperasi itu. dapan.
“Kita akan melancarkan kedai KIRA yang pertama dan pusat penjagaan serta asuhan kepada kanak-kanak.
“Kita juga sedang pertimbangkan pasaran untuk penjagaan orang tua,” katanya yang turut berharap ia akan membantu membuka peluang baharu untuk parti itu terus berkhidmat pada masyarakat.