Semasa

AMK buat laporan polis ancaman bunuh PM Anwar

Angkatan Muda Keadilan (AMK) membuat laporan polis terhadap seorang pengguna media sosial yang didakwa memuat naik hantaran ancaman bunuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, laporan tersebut dibuat oleh wakil AMK di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada jam 1.43 petang, hari ini.

Ujar Kamil, ini bukan kali pertama ancaman terhadap Perdana Menteri dibuat, namun memandangkan ugutan seperti itu dilakukan berulang-kali, ia seolah-olah dilihat mencabar pihak berkuasa.

“Dia secara terang-terangan membuat ugutan terhadap Perdana Menteri iaitu dengan menawarkan habuan sebanyak RM5 juta kepada sesiapan yang boleh membunuh beliau.

“Kalau kita tidak bingkas bangkit dan lakukan sesuatu dengan segera, kita bimbang ini akan membawa ke arah satu keadaan di mana orang tidak lagi ambil peduli atau sewenang-wenangnya, memungkinkan kita menuju ke arah radikal atau ekstremis.

“Justeru, kita meminta pihak polis untuk segera menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya pada sidang media di luar Kongres Nasional PKR 2023, hari ini.

Terdahulu, seorang pengguna media sosial di TikTok yang menggunakan nama Jaiadani89 telah menawarkan habuan wang tunai RM5 juta bagi sesiapa berjaya membunuh Perdana Menteri.

Berdasarkan hantaran itu, Kamil percaya individu berkenaan cuba menyebarkan sentimen kebencian dan hasutan kepada rakyat atas motif berbaur politik.

Walau bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan lanjut kerana kes itu jelas di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button