Semasa

Fungsi masjid diperluas, jadi tempat aduan, perlindungan mangsa keganasan rumahtangga

Isu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan sering menjadi fokus utama kerana ia melangkaui batas sempadan, agama, bangsa, dan budaya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata, berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), hampir satu daripada tiga wanita di seluruh dunia mengalami keganasan fizikal atau keganasan seksual sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Berdasarkan statistik polis jelasnya, kes keganasan terhadap wanita yang melibatkan keganasan rumah tangga, jenayah rogol, dan gangguan seksual merekodkan sebanyak 9,334 kes pada 2021; dan 8,580 kes pada 2022; dan bagi tahun ini, sehingga Ogos, sebanyak 5,050 kes direkodkan.

“Tragedi ini telah merebak kepada situasi dan keadaan yang berbeza, termasuk di tempat awam, tempat kerja dan dalam talian serta telah diburukkan lagi oleh kesan pasca-pandemik Covid-19. Terdapat lima bentuk keganasan yang dikenal pasti boleh berlaku kepada wanita, iaitu penderaan fizikal, penderaan seksual, penderaan sosial, penderaan kewangan serta penderaan psikologi dan emosi.

BACA LAGI: Persatuan wanita diseru anjur program perkasa golongan tersebut

“Masyarakat lebih mengetahui mengenai penderaan fizikal dan seksual. Namun begitu, ramai yang kurang sedar mengenai jenis bentuk keganasan lain yang boleh berlaku terhadap wanita. Ugutan, penghinaan, menjatuhkan maruah wanita adalah bentuk penderaan psikologi dan emosi,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2023 di ibu negara pada Sabtu.

Justeru tambah Nancy, kerajaan telah memperluas fungsi masjid terutama di Wilayah Persekutuan apabila 12 darinya diberi peranan sebagai pusat aduan dan khidmat kaunseling untuk mangsa keganasan rumah tangga.

Dua buah masjid iaitu Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Masjid Al-Ghufran di Pinggiran Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pula diberi peranan sebagai pusat transit bagi membolehkan mangsa mendapatkan perlindungan.

“Inisiatif ini dilaksanakan bagi memperluaskan fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat yang menyediakan pelbagai kemudahan meliputi keperluan psikososial dan kerohanian,” katanya

Related Articles

Back to top button