Kajian Merdeka Center bukan mengejutkan, perlu difahami secara betul – Rafizi Ramli
Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli menggesa agar hasil kajian Merdeka Center difahami dengan betul dan dilihat secara rentetan masa.
Mengulas hasil kajian terbaharu firma itu yang menunjukkan rating penerimaan terhadap Anwar merosot selepas setahun pentadbirannya, Rafizi menegaskan ia bukan perkara yang asing untuk mana-mana kajian.
Malah ujar beliau, apabila sesuatu kerajaan yang mengambil alih telah mencapai tempoh pertengahan, popularitinya mesti akan jatuh, sama seperti pimpinan di Amerika Syarikat (AS).
“Pada bacaan saya, melihat dapatan daripada kaji selidik Merdeka Center tersebut, sebenarnya penilaian kelulusan (Datuk Seri Anwar Ibrahim) itu adalah lebih baik daripada Perdana Menteri sebelum ini selepas setahun mereka menjadi Perdana Menteri.
“Untuk menilai suasana sebenar, kita kena membandingkan pola sokongan itu dengan Perdana Menteri lain sebelum ini,” tegasnya dalam sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada Sabtu.
Mengulas lanjut Rafizi, walaupun rating itu jatuh, namun sebenarnya penilaian kelulusan (Anwar) lebih baik daripada perdana-perdana menteri sebelum ini selepas setahun (memegang jawatan).
Kerajaan pimpinan Anwar ketika ini berada dalam keadaan baik, berdasarkan kestabilan politik dan sokongan rakyat secara status quo.
“Tetapi yang itu tidak dibaca oleh orang ramai
“Melangkah ke hadapan, melihat semua elemen, Kerajaan Perpaduan adalah kukuh, sokongan orang ramai dan penilaian kelulusan meningkat,” jelasnya.
BACA LAGI: Kerajaan ambil maklum hasil kaji selidik Merdeka Center
Rabu lepas, Merdeka Center mengeluarkan dapatan kaji selidik yang menunjukkan rating penerimaan terhadap Anwar merosot selepas setahun pentadbirannya.
Firma itu berkata, hanya separuh daripada responden kaji selidik yang dijalankan pada penghujung bulan lepas itu memberikan maklum balas positif, berbanding 68% dalam kaji selidik yang dijalankan pada Disember tahun lepas, iaitu hanya sebulan selepas Anwar mula menerajui Putrajaya.
Sebagai rekod, rating kelulusan yang diterima Anwar itu lebih meyakinkan berbanding kerajaan sebelum ini, misalnya Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu kira-kira 30 peratus dan Tan Sri Muhyiddin Yassin antara 30 hingga 40 peratus.