Politik

Keanggotaan PKR seramai 1,136,683 orang – Setiausaha Agung PKR

Jumlah keahlian terkini Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah seramai 1,136,683 orang, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, daripada 222 cabang berdaftar di seluruh negara, Cabang Kapar di Selangor menjadi cabang yang memiliki jumlah keanggotaan tertinggi iaitu seramai 27,000 ahli.

“Ia diikuti Kuala Langat dengan seramai 24,392 ahli, Kota Raja (23,762) dan Hulu Selangor (22,731).

“Yang kelima teratas adalah Cabang Sungai Buloh iaitu seramai 22,395 ahli. Syabas kita ucapkan,” katanya dalam ucapan aluan pada Kongres Nasional Tahunan Keadilan ke-17 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan agar tentera PKR untuk tidak terkandas dalam memaknai agenda reformasi tatkala parti itu sudah menerajui negara.

Mengambil pesanan Perdana Menteri, Saifuddin berkata, PKR tidak seharusnya melupakan perjuangan 24 tahun itu dalam membawa perubahan yang lebih baik.

“Ada pemimpin yang lantang mengangkat suara rakyat kemudian selama berkuasa menjadi diktator dan perompak harta negara.

“Justeru, semalam, dalam mesyuarat khas kepimpinan utama parti, Presiden berpesan agar parti tidak terjerumus ke dalam acuan itu.

“Jika ini dapat lakukan, maka kita boleh diangkat menjadi sebuah negara yang gah dan dihormati kawan dan lawan,” katanya.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button