Kemasukan pekerja asing sektor pembersihan, pencucian dibekukan – KSM
Proses kemasukan pekerja asing bagi sub sektor pembersihan dan pencucian dibekukan, maklum Kementerian Sumber Manusia (KSM).
KSM dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, keputusan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing kali Ke-8.
Pembekuan kemasukan itu dibuat memandangkan lebih daripada separuh para pekerja asing terabai yang diselamatkan adalah dari sektor tersebut.
“Permohonan kuota yang telah diluluskan sebelum ini turut diarahkan untuk disemak semula.
“Arahan semakan itu bukan sahaja melibatkan sub sektor pembersihan dan pencucian sebaliknya semua sektor dan sub sektor yang lain,” kata kenyataan tersebut.
BACA LAGI: KSM sedang rangka dasar berkaitan latihan industri
Mengulas lanjut, Kementerian Sumber Manusia menegaskan pihaknya sentiasa cakna akan senario perburuhan negara dan tidak akan sesekali berkompromi dengan amalan buruh paksa.
Justeru KSM bersama kementerian berkaitan serta jabatan dan agensi di bawahnya akan terus mempergiat pelaksanaan operasi dan penguatkuasaan selaras dengan perundangan di bawah bidang kuasa yang diperuntukkan.
“Tidak dinafikan bahawa pada tahun ini negara dikejutkan dengan isu berkaitan pekerja asing yang dibawa masuk secara sah ke dalam negara tetapi tidak diberikan sebarang pekerjaan yang akhirnya menyebabkan mereka terabai.
“KSM yakin melalui peningkatan operasi dan penguatkuasaan berterusan akan dapat memastikan industri perburuhan negara bebas daripada isu pekerja terabai dan seterusnya menghapuskan sebarang kegiatan yang membawa kepada buruh paksa,” tambah kenyataan tersebut.