Negeri

Kerajaan Selangor sasar bina 60,000 Rumah Selangorku menjelang 2025

Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan pembinaan 60,000 unit kediaman Rumah Selangorku pada harga bawah RM250,000 seunit menjelang 2025.

EXCO Perumahan dan Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata, beliau yakin sasaran itu mampu dicapai melalui kerjasama dengan pemaju swasta yang mempunyai pelbagai pengalaman membangun sesuatu kawasan.

“Kerajaan Negeri akan terus ikhtiar dalam membuktikan komitmen kepada rakyat supaya dapat mendiami rumah yang selesa, kondusif, berkualiti dan berbaloi pada harga mampu milik,” kata ADUN Tanjung Sepat itu.

Beliau sebelumnya hadir pada majlis penyerahan kunci Rumah Selangorku Pangsapuri Aurora, Saujana Permai, Seksyen U17 di Shah Alam pada Sabtu.

BACA LAGI: Selangor belanja lebih RM25 juta untuk pelaksanaan Jualan Ehsan Rahmah

Rumah Selangorku Pangsapuri Aurora di Saujana Permai menawarkan 90 unit kediaman berkeluasan 1,001 kaki persegi pada harga hanya RM185,000 seunit.

Kediaman yang mempunyai tiga bilik, dua tandas dan dua ruang parkir itu dibangunkan pemaju Johawaki Development Sdn Bhd (JDSB) di atas tanah berkeluasan 2.86 ekar.

Perumahan berkepadatan rendah setinggi lima tingkat itu turut dilengkapi dengan kemudahan lif, dewan serbaguna, tadika, taman permainan, pondok pengawal dan pejabat pengurusan.

Pada majlis itu Borhan turut menyampaikan replika kunci kepada pemilik disaksikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Johawaki Mohamad Akmah Johari.

Related Articles

Back to top button