Kongres KEADILAN jadi pentas bincang ekonomi, kebajikan rakyat bukan seperti Perhimpunan Bersatu – Saifuddin
Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2023 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) merupakan medan bagi membincangkan isu ekonomi, kebajikan rakyat dan keadilan sosial.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pentas konvensyen yang diadakan wajar dimanfaatkan sebaik mungkin berbicara soal kepentingan negara antaranya berkaitan usaha merancakkan semula ekonomi negara dan yang paling penting memperjuangkan amalan tatakelola baik dalam sistem pemerintahan.
Ia jelasnya berbeza dengan apa yang berlaku pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang hanya berkisar mengenai kedudukan jawatan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin
“Para pembahas menolak cadangan Presiden, kemudian adanya mesyuarat khas Majlis Tertinggi menolak cadangan itu dan akhirnya pada ucapan penutup Presiden (Muhyiddin) kata tidak jadi letak jawatan. Keseluruhan perhimpunan itu berkisar tentang itu sahaja.
“Tidak bicara isu rakyat, isu ekonomi atau antarabangsa tidak jadi tumpuan. Kongres KEADILAN tidak boleh begitu, kita akan bicara soal kestabilan politik, kita bicara bagaimana hendak rancakkan ekonomi, fokus dalam kebajikan dan keadilan rakyat. Paling penting tatakelola pemerintahan,” katanya melalui ucapan aluan kongres itu pada Sabtu.
Konvensyen yang mengangkat tema “Memaknai Reformasi, Menjulang Madani” itu dirasmikan Presidenya, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.
BACA LAGI: Kongres AMK ruang untuk ahli bahas idea baharu
Edisi ke-17 kali ini menghimpunkan 2,400 perwakilan dari sayap parti selain turut disertai 1,500 perwakilan, ia turut dihadiri pemimpin utama parti gabungan kerajaan perpaduan serta 46 perwakilan kedutaan asing.
Sementara itu menurut Saifuddin ia acara yang sangat signifikan apabila parti itu sendiri kini diambang menjengah usia 25 tahun pada April tahun depan dan keduanya diadakan genap setahun Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawat jawatan Perdana Menteri dan juga setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan
Mengulas lanjut beliau turut mengumumkan ahli parti itu sudah mencecah 1,136,683 orang dengan 222 cabang berdaftar dari Perlis hingga ke Sabah.
Cabang Kapar di Selangor menjadi cabang yang memiliki jumlah keanggotaan tertinggi iaitu seramai 27,000 ahli.